KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan menerima 5,823 panggilan di seluruh negara pada bulan ini berkaitan kebakaran akibat cuaca panas.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, berkata jumlah panggilan meningkat secara mendadak berbanding pada bulan Januari lalu yang hanya merekodkan 1,941 panggilan disebabkan masalah sama.

Beliau berkata, peningkatan itu sangat membimbangkan dan memerlukan penguatkuasaan serta kesedaran tinggi daripada orang ramai, terutama mengenai kegiatan pembakaran terbuka.

“Justeru, saya meminta orang ramai supaya menghentikan pembakaran terbuka termasuk pembakaran hutan, kebun, belukar dan sampah pada musim kemarau ini,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM bagi Mac 2019.

Selain itu, Mohammad Hamdan juga berkata JBPM sentiasa bersiap siaga bagi menangani kebakaran hutan dan tinjauan udara yang telah dilakukan di Lembah Klang dua hari lalu turut mendapati kebakaran kritikal terjadi di kawasan Banting, Selangor dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

“Kebakaran di lebuh raya ELITE dapat kita tangani, manakala di kawasan Banting yang membabitkan tanah gambut, JBPM melakukan kerja ‘water bombing’ kerana kawasan itu jauh dari jalan raya, sekali gus menyukarkan jentera bomba untuk memasuki kawasan itu.”

“Hujan juga membantu memadamkan kebakaran di tanah gambut berkenaan, namun masih terdapat satu atau dua lokasi yang masih terbakar dan kerja memadamkan kebakaran akan diteruskan sehingga selesai,” katanya.

Setakat ini, katanya, JBPM tidak menerima sebarang kes baharu berkenaan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, namun tetap bersedia dan mengambil tindakan jika menerima aduan daripada orang ramai.

Sumber : Berita Harian